Assalamualaikum dan Salam sejahtera
Bulan Mei yang ada 31 hari merupakan bulan penghargaan. Mengapa ya saya katakan begitu, ini kerana bermula dengan 1hb Mei sebagai hari pekerja (Mayday), minggu ke-2 pula adalah Hari meraikan para ibu yang dikasihi (Isteri kepada suami, Ibu kepada permata hati, anak kepada orang tuanya , menantu kepada mertua) - tidak kiralah ibu kandung, ibu angkat, ibu susuan, ibu jagaan pendek kata ia penghargaan buat insan bergelar wanita yang menerima setiap tanggungjawab dengan amanah, cekal dan tabah. Selepas itu para penjawat awam dan swasta di semua hospital, rumah sakit, klinik desa dll akan meraikan Hari jururawat yang jatuh pada 12 Mei, diikuti pula penghargaan buat guru pada 16 Mei. Harap takdelah yang saya tertinggal, selain itu perayaan keagamaan seperti hari wesak jatuh pada 09 Mei. Didalam keluarga saya pula , adik ke-4 iaitu Nurfahrulrizal@Bob@Rizal@Pakandak lahir pada 10 Mei 1980 - 30 tahun pada tahun ini 'Happy Birthday Bob' moga semakin matang leayari kehidupan penuh dugaan di kota besar KL.
Sempena Sambutan Hari Ibu tahun ini, saya seperti biasa mengucapkan selamat untuk diri sendiri terlebih dahulu kerana kalau nak harapkan suami dia dah bagitahu awal dia hanya sambut Puasa dan Hari Raya Sahaja dalam hidup dia..... sabor ajelah. Sebagai ibu bekerja saya tahu saya sentiasa kekurangan dalam memainkan peranan sebagai ibu kepada anak anak. Seringkali saya diburu rasa bersalah kepada 2 permata hati saya iaitu Izz Daniel Rizq (5 tahun) dan Izzat Danish Rizq (2 bulan). Maafkan mama andai tidak mampu menjadi mama superb buat kalian. Setiap kali saya tanya dengan Daniel apa doa dia sebelum tidur dia pasti akan memberitahu mendoakan mama semakin cantik dan mendoakan mama berhenti kerja. Terdiam saya dibuatnya dan akhirnya saya akan tidur dengan airmata basah dipipi. Kalaulah bukan kerana komitmen yang sangat tinggi (Financial terutamanya) pasti saya sudah resign. Saya memang nak jadi ibu yang bekerja dari rumah. Namun saya redha dan sedang berusaha ke arah itu. Insyaallah.
Buat ibu saya Habsah Mohamed, yang saya selalu raikan beliau pada setiap Mei dengan extra sedikit pada Mei dengan membawa beliau, adik beliau Busu Noi dan makandak Fathilah ke Sambutan Hari Ibu Restoran Seri Melayu. Dapatlah saya raikan beliau walaupun saya sedang bekerja waktu itu. Saya harap sangat beliau terhibur dengan aktiviti sepanjang majlis berlangsung. Ibu saya, yang saya panggil emak sudah berusia 60 tahun. Masih kuat bertenaga keran banyak beriadah seperti menanam bunga dan bercucuk tanam, namun uban sudah mula memutih dan kulit sudah mula mengeleber namun dia tetap cantik di mata saya. Saya tidaklah ada kenangan manis manis yang hendak dikongsi disini namun sebagai anak sulung semangat emak saya simpan menjadi azimat saya. Lazimnya apabila tiba Hari jadi, hari ibu dan hari raya saya akan hadiahkan beliau dengan hadiah jadiah kegemaran orang pompuan, senyum cik biah kita bila dapat bungkusan dari anak nyer namun dia pasti akan berkata 'Apa lagi long.... cukuplah' hutang air susu long pun dah habis bayar, dah takde apa lagi long, jangan membazir. sambil menahan sendu. reaksi saya.... ketawa ajelah. Saya tidak dapat jadi doktor, lawyer, cikgu yang boleh menaikkan nama emak. Saya hanya kerja di Restoran Seri Melayu Kuala Lumpur, namun alhamdulillah, semua keperluan asas emak telah saya sempurnakan. Saya sangat gemar mendengar lagu Aishah dan Allahyarham Sudirman berkenaan dengan Bonda, M Nasir dan Dato' Shake. Kini saya menjadi ibu kepada 2 cahayamata , moga saya menjadi ibu yang dibanggakan oleh mereka. Emak...... Long sayang mak, selamat hari ibu buat emak moga Allah memayungi emak selagi hayat di kandung badan.
Ibu mertua saya bernama Hajjah Rokiah Kassim, saya sudah menjadi menantu perempuan tunggal dalam keluarga suami sejak 8 tahun yang lalu. Ibu mertua saya sudah 71 tahun umurnya, dari sihat dahulunya dan sekarang semakin uzur. Saya memanggil beliau emak, seorang ibu mertua yang sangat baik, pandai memasak dan hidangannya enak enak belaka. Seorang ibu mertua yang berterus terang tetapi berhati mulia. Namun kini, saya hanya mampu menatap mukanya dengan sayu kerana emak semakin uzur. Tiada lagi kari ikan yang enak, sambal jawa dengan nais panas, masak lemak nangka menjadi hidangan di meja makan. Namun saya bersyukur kerana disaat beliau sihat saya dapat meraikan hari ibu dan memberi hadiah mengikut kemampuan saya (lazimya hadiah yang sama dengan ibu saya).
Hujung minggu hadapan, apa kata raikan Ibu dan bapa kita di Restoran Seri Melayu Jalan Conlay pada Sambutan Hari Ibu dan Bapa 2009 Istimewa Bersama Nabil dan Ramlah Ram. Selain dari hidangan yang memang enak enak belaka, ada aktiviti dan pelabagi hadiah menarik. Boleh hubungi bahagian tempahan di 03-2145 1811 / 1833 untuk pertanyaan lanjut. Tiket dari RM 80.00, RM 100.00, RM 133.00 dan RM 155.00. Jom santai bersama ibu dan bapa serta ahli keluarga pada 16hb Mei ini.